Mulakan dengan

Insan Bertuah

Jom Ikuti Seminar ini..Percuma je!

Wednesday, 16 March 2011

Model Doktor Veterinar Yang Berjaya

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my



Bagai seiring personaliti jejaka XY - Ikon Lelaki minggu ini tatkala menyentuh soal kerjaya dan keperibadiannya. Sikap penyayang terhadap haiwan melengkapi tuntutan profesion sebagai doktor veterinar si empunya diri. Ikuti tabir cerita Dr Zul Erwan Azmi...

SUKAR diluahkan betapa meriahnya sesi fotografi menghasilkan gambar muka depan XY - Ikon Lelaki minggu ini. Bayangkan, gelagat 32 ekor kucing peliharaan personaliti pilihan XY - Ikon Lelaki, Dr Zul Erwan Azmi cukup menguji kesabaran dan kreativiti menghasilkan sudut dan pose terbaik.

Lucu, nakal dan bersahaja menjadi antara karektor yang dilihat pada kumpulan kucing ini. Puas mengumpulkan semua 32 ekor, ada saja kucing dan ‘rakan-rakannya’ lari meninggalkan sudut rakaman lensa. Tidak cukup itu, ada juga kucing yang aktif berlari ke sana-sini hingga terpaksa diasingkan. Tidak terkecuali, aksi si manja yang mahu makanan disuap dengan penuh kasih sayang.





Jurugambar Berita Harian, Sobri Sudin nyata sabar melayan kerenah kucing pada petang itu. Suasana riuh-rendah memecah keheningan rumah teres dua tingkat yang didiami Dr Zul Erwan. Akhirnya, idea awal mengumpulkan semua kucing di pangkuan Dr Zul Erwan terpaksa dilupakan.

“Beginilah keadaannya apabila berdepan si comel. Gelagat kucing peliharaan saya ini sudah menjadi asam garam hidup sebagai doktor haiwan. Saat begini tentu menyeronokkan apatah lagi melihat kucing ini sihat-sihat belaka,” katanya membuka cerita.

Dr Zul Erwan berkata, saban hari ada saja kes baru yang membabitkan masalah kesihatan haiwan peliharaan dirujuk di klinik veterinar tempat beliau bertugas di Shah Alam, Selangor.

“Ada saja penyakit seperti demam, selsema dan kemalangan kecil dirujuk kepada kami setiap hari. Ada juga kes berat seperti kemalangan, patah anggota badan, jangkitan virus dan penyakit kronik lain dirujuk untuk dirawat segera,” katanya yang sudah dua tahun berkecimpung dalam bidang veterinar.

Dr Zul Erwan berkata, selain melayan gelagat haiwan, beliau juga terpaksa berdepan kerenah pemilik haiwan yang mahukan perkhidmatan terbaik.

“Semestinya, sebagai doktor kita perlu berusaha melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan haiwan kesayangan pelanggan. Kita juga harus menerima takdir andai segala usaha gagal temui jalan penyelesaian.

“Ini termasuk kes berat seperti haiwan yang terbabit dalam kemalangan teruk hingga tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Leka mendengar cerita Dr Zul Erwan yang menghabiskan tempoh tujuh tahun melanjutkan pengajian dalam bidang veterinar di Universiti Putra Malaysia (UPM). Paling istimewa, Dr Zul Erwan bertemu jodoh dengan pensyarah seni yang juga seorang pencinta haiwan.


Bersama Dr Zul Erwan selami peribadi serta minat mendalamnya dalam bidang veterinar...

Ceritakan serba sedikiti kerjaya Dr Zul Erwan sebagai doktor veterinar?

Sebagai doktor haiwan, kita perlu mendekati semua jenis haiwan bukan saja haiwan comel seperti kucing. Haiwan besar seperti lembu dan kambing juga tidak terkecuali.

Namun, skop kerjaya saya sekarang lebih menjurus kepada haiwan peliharaan seperti kucing, anjing dan arnab. Manakala sesi rawatan yang selalu diberi ialah merawat penyakit biasa seperti selsema, demam dan pemandulan.

Mengapa memilih bidang veterinar berbanding cabang perubatan lain?

Secara peribadi, saya amat menyayangi haiwan sejak kecil lagi. Malah, ketika di sekolah menengah, saya mula berminat mendalami perubatan haiwan. Kematian kucing kesayangan ketika saya menuntut di tingkatan tiga menguatkan lagi azam menceburi bidang ini.

Ini membuatkan saya tekad memilih bidang veterinar di UPM dan menghabiskan tujuh tahun menguasai bidang ilmu ini.

Apakah cabaran yang dihadapi doktor haiwan?

Kesabaran adalah kunci utama yang perlu disemai dalam diri doktor veterinar. Lebih-lebih lagi kita berdepan dengan kerenah pemilik haiwan yang sentiasa mahukan perkhidmatan terbaik.

Banyak situasi perlu ditangani dengan bijak, misalnya kita tidak terlepas daripada merawat anjing yang memerlukan perhatian doktor. Sebagai insan yang bersifat berperikemanusiaan, mahukah kita hanya melihat andai berdepan dengan anjing tersepit?

Sejauh mana kecintaan anda terhadap haiwan peliharaan?

Rasa sayang begitu mendalam dalam jiwa saya. Jika boleh, saya sendiri mahu membela kucing terbiar di tepi jalan. Apakan daya saya tidak mampu melakukan semua itu. Apa yang mampu saya lakukan hanyalah membeli makanan andai terjumpa kucing kelaparan.

Sudah menjadi impian saya pada suatu hari kelak menubuhkan pusat kebajikan haiwan terbiar.

Lelaki dan kecenderungan memelihara haiwan - boleh anda ulas serba sedikit?

Mungkin ramai menganggap wanita lebih serasi dengan haiwan peliharaan. Tanggapan itu salah sama sekali. Apa yang saya perhatikan, jumlah pemilik haiwan lelaki dan wanita yang berkunjung ke klinik lebih kurang sama.

Malah, Rasulullah SAW sendiri adalah pencinta kucing.

Apa agaknya gelagat lelaki dengan haiwan peliharaan, apakah sama dengan pemilik haiwan wanita?

Tidak ada bezanya sama ada pemilik lelaki atau wanita. Cuma lelaki mungkin lebih menggemari haiwan eksotik seperti landak, iguana, kura-kura dan hamster berbanding kucing atau anjing.

Apa pandangan Dr Zul Erwan mengenai potensi bidang veterinar di Malaysia?

Potensinya cukup besar dan menjanjikan peluang kerjaya meluas. Untuk makluman, hanya UPM saja yang menawarkan pengajian dalam bidang veterinar di Malaysia. Selain boleh bekerja di klinik veterinar, lulusan bidang veterinar boleh bekerja di Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH).

Bagaimana Dr Zul Erwan melihat hobi memelihara haiwan dalam konteks kehidupan di bandar serta kaedah melindungi haiwan daripada ancaman pelbagai penyakit dan potensi haiwan peliharaan membiak di luar kawalan?

Sebenarnya, ramai tidak faham konteks pemandulan haiwan terbiar. Seharusnya kita menyokong usaha pemandulan haiwan terbiar kerana haiwan ini terdedah dengan persekitaran yang tidak sihat. Justeru, di klinik ini sendiri, kami memberikan diskaun istimewa untuk program pemandulan haiwan.

Berapa lama anda berkecimpung dalam bidang veterinar?

Sejak tamat pengajian dalam bidang veterinar pada 2006, saya terus menumpukan perhatian dalam bidang ini. Saya gembira dapat membantu masyarakat serta menjadi sebahagian daripada komuniti yang menyayangi haiwan peliharaan.

Berapa lama anda mahu berkecimpung dalam bidang ini?

Selepas tamat pengajian dulu, saya bekerja dengan sebuah syarikat penternakan ayam di Muar, Johor. Selama enam bulan di sana, saya mula merasakan kekurangan dan menyebabkan saya beralih ke klinik haiwan.

Di sini, saya rasa lebih lebih mencabar dan memberi lebih ruang untuk menimba pengalaman. Saya tidak meletakkan sasaran, sebaliknya mahu terus bertugas dengan komitmen dan minat yang tinggi.

Ceritakan sedikit mengenai kehidupan peribadi anda?

Sejak mendirikan rumah tangga, kehidupan mula berubah (ketawa) Jika dulu, banyak masa dihabiskan di klinik hingga pulang lewat malam, kini saya pastikan akan pulang ke rumah sebelum jam 10 malam.

Banyak masa kini dihabiskan bersama isteri. Hujung minggu pula saya berkebun.

Bagaimana pula personaliti diri Dr Zul Erwan?

Selain suka memelihara kucing, saya mula berjinak-jinak dalam seni lukis. Kebetulan isteri saya juga seorang pelukis, jadi sedikit sebanyak minat itu bercambah. Daripada sekadar membantu isteri membancuh warna, saya semakin minat melukis. Saya juga seorang pendiam.

Aktiviti anda pada waktu lapang?

Jika tidak membantu isteri dengan kerja rumah, kami akan berjalan ke kedai bunga atau taman burung. Jika tidak mempunyai rancangan khusus, kami lebih suka berehat di rumah bersama haiwan peliharaan.

Adakah Dr Zul Erwan boleh dikelaskan sebagai lelaki romantik?

Saya rasa biasa-biasa saja. (tergelak). Mungkin saya seorang yang penyayang.

PROFIL: Zul Erwan Azmi
Umur :
28 tahun
Tarikh lahir : 4 Oktober 1981
Tempat lahir :
Sungai Pinang, Pulau Pinang
Tinggi :
186 sentimeter
Berat :
77 kilogram
Saiz Baju :
M atau L
Saiz Kasut :
9. 


Ini link blog Dr. Zul  kot ni di http://sirihikayat.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

You might also like